Kita susah nak istiqamah sebab kita selalu riak dengan perubahan diri sendiri. Kita ujub bila kita rasa kitalah paling baik dalam dunia. Kita rasa kita bagus bila kita mempersoalkan bila orang lain nak berubah macam kita. Sedangkan kita sendiri belum tahu sampai tahap mana sabar kita, perubahan kita. istiqamah kita akan bertahan. Para ilmuan kata, bila kita pandang orang yang buat maksiat kata dalam hati mungkin dia ada kesempatan nak bertaubat. Sedangkan kita? Bila kita pandang budak kecil, kata dalam hati diorang tu masih suci sebab tak pernah lagi buat dosa. Sedangkan kita? Bila kita pandang orang jahat, fikirlah mungkin satu hari nanti dia akan berubah dan menjadi lebih baik lagi daripada kita. Bila kita pandang orang kafir, fikirlah mungkin satu hari nanti mereka akan masuk Islam dengan hidayah Allah.
Jadi, bagaimana nak istiqamah ?
Setiap kesulitan pasti ada kemudahannya. Tiada masalah yang tiada jalan penyelesaiannya kerana Allah itu tidak akan memberi ujian melainkan ada penawarnya, ada ubatnya, ada penyelesaiannya. Nak istiqamah, serius memang susah kecuali kalau ada niat sungguh-sungguh dalam hati.
1. Berdoa pada Allah.
Kekuatan itu datang daripada Allah. Kita tahu kita ni terlalu lemah dan kita sangat memerlukan kekuatan dan bantuan daripada Dia dalam istiqamah mengerjakan ibadah pada-Nya. Allah Al-Jabbar. Allah itu Maha Kuat. Maka kekuatan yang sering kita perlukan adalah daripada Allah. Jadi berdoalah dan seringlah kita memohon kekuatan daripada-Nya agar segala urusan kita di dunia dan di akhirat sentiasa berjalan lancar dan dipermudahkan.
"Tiada daya upaya melainkan dengan bantuan Allah yang Maha Agung."
Mu'az bin Jabal r.a. menceritakan bahawa suatu hari Rasulullah saw memegang tangannya seraya mengucapkan, "Hai Mu'az, demi Allah sesungguhnya aku benar-benar mencintaimu. Demi Allah, aku benar-benar mencintaimu." Lalu beliau bersabda, "Aku mewasiatkan padamu hai Mu'az, jangan kamu tinggalkan bacaan setiap kali di akhir solat hendaknya kamu berdoa, 'Allahumma a'in ni 'ala zikrika wa syukrika wa husni 'ibadatik.' Mafhumnya, Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah dengan baik pada-Mu. -HR. Abu Daud.-
Doa tersebut adalah mustajab untuk memohon pada Allah agar sentiasa memimpin diri kita yang lemah ini dalam melakukan ketaatan pada Dia Yang Satu. Bila kita lihat baginda sering bengkak-bengkak seluruh badan sebab sentiasa beribadah pada Allah dan bersujud lama pada Allah di setiap akhir solat baginda kerana berdoa sebaik mungkin agar Allah mengampunkan dosa-dosa baginda sedangkan Rasulullah telah dijanjikan Allah syurga. Baginda juga seorang yang maksum. Tiada satu pun dosa baginda pada Allah. Namun baginda tetap berdoa banyak kali agar Allah ampunkannya dan baginda sering solat malam untuk menambahkan ibadah. Baginda paling banyak beristigfar memohon ampun pada Allah sedangkan kita manusia yang lemah tidak tahu dimana tempat kita di akhirat nanti, pun malas nak berdoa, berzikir memohon ampun pada Allah Ya Ghaffar. Astagfirullah :(
2. Hati sentiasa hadir bersama Allah dalam beribadah.
Kebanyakan di kalangan kita menjadikan ibadah itu sebagai adat dan kebiasaan, melakukannya kerana sudah dirutinkan dan diprogram di dalam aktiviti harian kita. Ini menyebabkan kita beribadah sekadar untuk melepaskan diri daripada kewajipan,seterusnya ibadah itu berlalu tanpa memberikan kesan ke dalam hati kita. Ibadah demi ibadah dilakukan, tetapi hati tetap jauh dari Allah SWT.
Kita selalunya menunaikan solat sekadar mana yang boleh melepaskan diri kita dari kefardhuannya. Maka, solat yang dilakukan tidak sempurna, fikiran jauh melayang entah ke mana, semua masalah datang di dalam fikiran di dalam solat, difikirkan masalah tersebut hingga tamat solat dalam keadaan kita tidak sedar langsung apakah perbuatan yang kita lakukan sepanjang solat sebentar tadi. Adakah sempurna rukun dan syaratnya? Apatah lagi perkara sunat di dalam solat, langsung tidak dilakukan, berpada dengan perkara wajib sahaja.
Hendaklah kita melakukan solat itu seperti para sahabat dan tabiin, bukan sekadar melaksanakan rakaat demi rakaat. Malah, setiap rakaat itu memberikan bekas ke dalam hati kita dan meningkatkan iman kita. Kita perlu menghadirkan ke dalam hati kita bahawa kita sedang menyembah Allah, Tuhan sekelian alam, Raja segala raja. Berdirinya kita sebagai hamba yang pandangan sentiasa tunduk ke bawah, tanda akur dengan kebesaran dan kekuasaan Allah. Rukuk kita dengan perasaan takzim kepada Allah, Tuhan yang Maha Agung. Sujud kita dengan perasaan penuh kehambaan dan kehinaan di hadapan Allah Yang Maha Tinggi.
Membaca Al Quran itu bukan sekadar membaca huruf demi huruf dan ayat demi ayat. Malah menghayati setiap bacaan itu dengan penuh teliti. Jika seseorang itu memahami Bahasa Arab, maka hendaklah membaca Al Quran itu dengan penghayatan kepada maknanya dan apa yang diceritakan di dalamnya. Jika tidak memahami Bahasa Arab, lafazkan bacaan Quran itu dengan tartil, sempurna tajwid dan makhrajnya. Jika boleh membuat bacaan berlagu, maka lagukan bacaan Al Quran dengan baik. Setiap bacaan kita itu kita sedari bahawa kita sedang membaca kalam-kalam Allah, iaitu kalam yang teragung di seluruh alam semesta.
Diceritakan bahawa Saidina Ikrimah RA ketika ingin membaca Al Quran, selepas membukanya, terus masuk kebesaran dan keagungan Allah ke dalam hatinya. Lantas berkata "Ini kalam Tuhanku. Ini kalam Tuhanku. Ini kalam TuhanKu." Lantas beliau menangis lantaran rasa ketakutan dan bergetar hatinya terhadap kebesaran Allah walaupun belum membacanya lagi, kerana beliau dpaat merasakan bahawa kalam Allah berada di hadapanya dan ianya teramat agung.
Begitulah dengan ibadah lain, hendaklah dilakukan dengan menghadirkan hati kita bersama Allah. Benar, ianya bukan syarat sah ibadah, namun di situlah kesempurnaan ibadah. Ibadah yang sempurna sahaja yang dapat membina ikatan kukuh antara hamba dan Penciptanya. Manakala ibadah yang tiada penghayatan, umpama baju buruk yang bertampal sana sini. Cukup sekadar menutup aurat, namun kelihatan hodoh sekali
Menghadirkan hati bersama Allah di dalam ibadah sememangnya sukar dilakukan. Ia memerlukan mujahadah dan kesungguhan kita sebagai hamba Allah. Kemungkinan besar ianya tidak akan hadir semasa kita ingin membacanya pada hari ini, esok, lusa dan minggu hadapan. Namun, berkat usaha kita yang berterusan, Allah yang Maha Pemurah pasti akan memberikan nikmat ini kepada kita selepas kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Ianya berbeza kepada mereka yang malu kepada Allah tidak bertempat dan putus asa dengan rahmatNya, dengan tidak berusaha untuk mendapatkan nikmat ini, pastinya nikmat ini tidak akan hadir selamanya.
3. Meletakkan had minima dalam ibadah harian.
Meletakkan kadar minimum untuk setiap ibadah harian kita supaya ianya tidak berkurang dari had tersebut dan mengelakkan diri kita dari meninggalkannya terus. Ini merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mendapatkan istiqamah. Ini adalah kerana di dalam konsep istiqamah, bukan kuantiti ibadah menjadi keutamaan, tetapi penerusan di dalam pengamalan walaupun sedikit.
Hendaklah kita meletakkan had pada ibadah kita seperti tidak akan meninggalkan sama sekali solat fardhu secara berjemaah. Lewat mana sekali pun kita solat, mungkin disebabkan urusan yang tidak dapat dilewatkan, maka hendaklah kita mengusahakan agar solat itu dilakukan secara berjemaah.
Kita boleh meletakkan had bahawa wajib untuk kita membaca Al Quran paling sedikit satu muka surat dalam sehari. Maka, apa jua perkara yang berlaku, pastinya kita membaca Al Quran setiap hari dan tidak melanggar had minima ini, dalam keadaan kita hendaklah sentiasa mencari peluang untuk memperbanyakkan bacaan Al Quran dan tidak berpada dengan satu muka surat setiap hari.
4. Berusaha untuk khusyuk dalam solat.
Memang payah benoh nak khusyuk dalam solat ni. Cuma orang-orang yang kuat iman macam Rasulullah dan para sahabat sahaja yang boleh mencapai tahap khusyuk dalam solat. Kadang-kadang hati akan menjadi bosan bila kita masih tidak dapat mencapai khusyuk dalam solat. Bila hati dah bosan, kita akan putus asa untuk cuba lagi khusyuk dalam solat. Bila dah putus asa, lama kelamaan kita malas nak solat sebab kita tau kita tak akan khusyuk bila solat. Tapi sampai bila? Kita kena solat juga biarpun tak khusyuk asalkan kita cuba nak mengingati Allah dalam solat. Kalau nak tunggu kita khusyuk memang sampai mati lah kita tak solat! Memang taklah kan macam tu.
Mula-mula nak solat, kita kena ambil wuduk dengan sempurna. Kita hayati wuduk yang kita ambil. Hheheh. Aku pon kadang-kadang tak hayati jugak wuduk yang aku ambil tu. Tapi kita try hayati. Bayangkan setiap air wuduk yang kita ambil tu kan membersihkan diri kita yang kotor dengan dosa ni. Kita berharap dalam hati agar Allah mengeluarkan dosa-dosa dari badan kita dengan air wuduk yang kita ambil tu.
"Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwuduk maka setelah ia membasuh wajahnya keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kedua belah kakinya, keluarlah dari kedua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir seginggalah setelah ia selesai berwuduk ia bersih dari dosa-dosanya," -HR Muslim-
Lepastu , sebelum nak solat kita iqamat dulu walaupon kita solat sorang-sorang. Doa dalam hati mintak pada Allah tolonglah bantu kita khusyuk dalam solat. Dan tolong kita jauh daripada was-was agar kita mudah nak khusyuk bila solat nanti. Insya-Allah. :)
Sebenarnya banyak lagi cara nak istiqamah. Tapi apapun caranya, sama-samalah kita kuatkan semangat dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri sendiri menjadi hamba Allah yang terbaik. Walaupun banyak sangat ujian yang Allah turunkan pada kita. Janganlah sesekali kita putus asa dan lemah. Okay!! Sentiasa ingat ujian itu tanda kasih Allah pada kita. Allah tegur kita melalui ujian. Dia nak suruh kita ingat Dia. Dia nak suruh kita balik semula pada jalan yang benar lagi lurus.
Bila hati rasa bersalah bila melakukan dosa dan maksiat, itu tanda hati kita tak mati lagi. Kita masih punya iman tapi iman kita kecil berbanding nafsu yang sedang bermaharajalela. Hah! Ambil kau! Nafsu besar tapi iman kecil kemetot. Patutkan macam tu? Seriously tak patut langsung.